Ciri-ciri Keistimewaan Tamadun Islam

 

Di antara ciri-ciri tamadun Islam, ialah:[1]

Rabbani

Tamadun Islam adalah tamadun yang didasari oleh nilai-nilai ketuhanan dan keagamaan. Sumber matlamat dan tujuan kehidupan manusia telah ditetapkan oleh Allah. Al-Quran  menjadi sumber dan pedoman kepada kegiatan hidup manusia. Tanggungjawab manusia ialah sebagai hamba dan khalifah Allah di muka bumi.

Keseimbangan dan kesederhanaan

Keseimbangan bermaksud seimbang di antara dua keadaan yang bertentangan. Umpamanya, seimbang antara kerohanian dan kebendaan, antara tanggungjawab ibadah terhadap Allah dan urusan kehidupan, antara kepentingan individu dan masyarakat.

Universal

Tamadun Islam tidak terikat kepada bangsa tertentu, tempat dan tempoh tertentu bahkan ia milik seluruh manusia yang berpegang kepada ajaran Islam. Perkembangan tamadun Islam berpegang kepada konsep ummah dan tidak disandarkan kepada sesuatu bangsa atau kawasan. Berbeza dengan tamadun lain seperti tamadun Cina, tamadun India, tamadun mesophotamia, dan tamadun Parsi.

Ideal dan realistik

Islam sentiasa meletakkan manusia di tingkat kesempurnaan yang paling tinggi dan yang dapat dicapai. Iaitu dengan mengawasi seluruh kegiatan manusia agar tidak bercanggah dengan ajaran Allah. Realistik dari segi mengambil kira hubungan dengan alam sejagat atas dasar bahawa alam merupakan suatu hakikat yang berlaku di dunia nyata yang menunjukkan hakikat kewujudan Allah

Tetap dan anjal

Iaitu tetap atau tidak berubah pada sasaran dan matlamat pembinaan tamadun, tetapi anjal dari sudut cara dan teknik perlaksanaannya dengan memberi kebebasan dari sudut merealisasikan tamadun dengan mengambil kira matlamat yang hendak dicapai.

Menyeluruh

Tamadun Islam mencakupi seluruh aspek kehidupan manusia termasuk undang-undang, aqidah, akhlak, hubungan dengan Allah, hubungan sesama manusia dan hubungan manusia dengan makhluk lain serta hubungan antarabangsa.

 

[1] Che Zaharah Abdullah dan Rasidah Mahmood, Konsep Tamadun Islam, Kertas Kerja Bengkel Pemantapan Pengajaran Kursus Pemikiran dan Tamadun Islam CTU151, 14-15 Jun 2006, Shah Alam: UiTM

Advertisements

Bentuk Interaksi Antara Tamadun

  • Saling berhubungan atau interaksi sememangnya berlaku antara tamadun sepanjang sejarah.
  • Interaksi antara tamadun telah melahirkan banyak kesan positif di samping turut memberi kesan negatif.
  • Wujudnya interaksi ini adalah disebabkan semangat toleransi dan sikap saling hormat menghormati yang ditunjukkan antara tamadun dengan tamadun lain.
  • Sikap yang sedemikian rupa akan memungkinkan percambahan pemikiran dan budaya serta nilai.
  • Terdapat beberapa jenis interaksi antara tamadun, antaranya:
    • Interaksi dalam lingkungan budaya yang sama
    • Interaksi antara budaya dan tamadun yang berbeza
    • Interaksi antara tamadun yang kuat dengan yang lemah
    • Interaksi dalam sejarah

Interaksi dalam lingkungan budaya yang sama

  1. Ianya merujuk kepada hubungan satu budaya dalam sesuatu kaum. Misalnya, masyarakat Melayu yang terdiri daripada pelbagai kaum seperti Banjar, Jawa, Bugis, Minang dan sebagainya yang masing-masing mempunyai budaya dan adat resam tersendiri.
  2. Misal lain, seperti di India antara masyarakat Islam dan Hindu. Walaupun berbeza pegangan agama dan kepercayaan namun dar
  3. Dari segi budaya, masyarakat Hindu di Utara India menerima unsur-unsur keIslaman dalam budaya berpakaian, pemakanan dan seni bina. Manakala masyarakat Islam menerima unsur-unsur tertentu termasuk seni bina, muzik, pakaian masyarakat Hindu.
  4. Umumnya setiap kelompok masyarakat mengamalkan budaya yang hampir sama, tetapi dalam suasana atau majlis tertentu memperlihatkan kelainan budaya yang diamalkan menurut suku kaum tersebut.

Interaksi antara budaya dan tamadun yang Berbeza

  1. Suatu kaum yang berlainan kepercayaan dan budaya dapat saling berinteraksi. Misalnya, masyarakat Islam dengan masyarakat Buddha seperti di Malaysia.
  2. Meskipun agama dan budaya begitu berbeza, namun masyarakat Cina yang kebanyakkan beragama Buddha tidak dihalang mengamalkan agama dan budaya mereka di negara yang majoritinya beragama Islam.
  3. Keadaan ini disebabkan interaksi yang didasari sikap toleransi dan saling hormat menghormati antara satu sama lain yang ditunjukkan.

Interaksi antara Tamadun yang kuat dengan yang lemah

  1. Interaksi jenis ini dapat dilihat dalam sejarah pemerintahan Islam dari zaman Nabi Muhammad s.a.w sehingga zaman kerajaan Islam Uthmaniyyah. Masyarakat Yahudi dan Kristian yang merupakan masyarakat minoriti hidup harmoni dan damai di tengah-tengah masyarakat Islam yang merupakan golongan majoriti.
  2. Golongan minoriti diberi hak kebebasan hidup dan mengamalkan agama mereka selagi tidak mendatangkan masalah atau melanggar hak golongan lain
  3. Interaksi jenis ini termasuklah interaksi antara tamadun Barat yang menjajah masyarakat Melayu di alam Melayu suatu ketika dahulu.
  4. Kedatangan penjajah Barat telah mendatangkan kesan kepada masyarakat Melayu dalam pelbagai aspek termasuk pemikiran.

Interaksi dalam sejarah

  1. Saling berhubungan dan interaksi antara Islam dengan falsafah Konfusius yang telah bermula sejak abad ke 7M antara contoh interaksi dalam sejarah.
  2. Peringkat awal hubungan antara masyarakat Islam dengan masyarakat Cina di Cina adalah disebabkan hubungan perdagangan.
  3. Terdapat saudagar-saudagar Arab dan Parsi yang bermaustatin di Cina dan melalui proses interaksi termasuklah perkahwinan dan menjadi sebahagian masyarakat tempatan.
  4. Beberapa tokoh Islam turut memberi sumbangan kepada pemikiran Konfusianisme dan ada juga yang memberi sumbangan kepada bidang astronomi, seni bina, perkapalan dan ketenteraan.
  5. Apa yang menarik ialah terdapat kesejajaran antara ajaran Islam dengan ajaran Konfusianisme
  6. Keadaan ini menggambarkan kesan positif daripada interaksi antara tamadun.