Badget 2016: 6 inisiatif strategik mantapkan ekonomi

BAJET 2016 menggariskan enam inisiatif strategik yang memberi tumpuan kepada pengukuhan daya tahan ekonomi, memastikan keterangkuman, memperkasa modal insan, meningkatkan produktiviti, inovasi dan teknologi hijau serta menjamin kesejahteraan rakyat.

Program dan peruntukan pada tahun 2016 akan berpandukan kepada ekonomi keperluan rakyat, manakala konsep dan pelaksanaan program akan memberi tumpuan kepada nilai inovasi, iaitu pelaksanaan program secara pantas, berkos rendah dan berimpak tinggi. Mengambil kira persekitaran luaran yang lemah, kerajaan akan melaksanakan dasar bagi mengukuhkan lagi daya tahan ekonomi domestik.

Dari aspek pelaburan, inisiatif akan diambil untuk meningkatkan keyakinan pelabur melalui penyediaan persekitaran yang kondusif agar pelaburan terus berkembang. Usaha menarik pelaburan langsung asing (FDI) akan terus dipergiat dengan menyasarkan industri bernilai tambah tinggi dan berintensif pengetahuan.

Bagi mengekalkan peranan sektor perkhidmatan sebagai pemacu utama pertumbuhan, kerajaan akan mempercepat pelaksanaan Pelan Induk Sektor Perkhidmatan serta Pelan Induk Logistik dan Fasiliti Perdagangan.

Transformasi koridor Pembangunan lima wilayah koridor ekonomi dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9) untuk mengurangkan jurang pembangunan antara wilayah akan terus dipergiat bagi mentransformasikan koridor berkenaan menjadi kawasan pelaburan strategik.

Dalam usaha menggalakkan keterangkuman dan pembangunan seimbang, kerajaan akan meningkatkan taraf dan kualiti hidup rakyat, termasuk di Sabah dan Sarawak. Bagi meningkatkan pergerakan rakyat dan barangan, kerajaan akan membina Lebuhraya Pan-Borneo meliputi 1,090 kilometer di Sarawak dan 706 kilometer di Sabah.

Kerajaan akan berusaha meningkatkan pendapatan kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dan M40 dengan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan menggalakkan keusahawanan. Kerajaan akan terus memberi penekanan pembangunan modal insan bagi memastikan tenaga kerja dilengkapi pengetahuan dan kemahiran yang bersesuaian. Bagi tujuan ini, sistem pendidikan akan terus ditambah baik dan meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris.

Kerajaan komited untuk meningkatkan produktiviti melalui penambahan pengetahuan serta penggunaan inovasi dan teknologi. Dalam hal ini, kerajaan akan terus menggalakkan program latihan semula dan peningkatan kemahiran untuk menambah produktiviti buruh.

Untuk membantu perniagaan terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS), kerajaan akan terus membiayai Skim Jaminan Modal Kerja, Dana Strategik Pelaburan Domestik dan Dana Projek Berimpak Tinggi.

Kerajaan terus melaksanakan pendekatan holistik untuk menjamin kesejahteraan rakyat. Bagi memenuhi keperluan rumah kepada rakyat, kerajaan menyediakan fasiliti pembiayaan secukupnya kepada isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana serta meluaskan program perumahan sewa beli kepada kumpulan berpendapatan rendah.

Sumber: www.bharian.com.my/node/91471

Advertisements

Allah Melarang Mencela Sesama Sendiri

FIRMAN Allah Taala bermaksud: “Dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri dan janganlah kamu panggil memanggil dengan gelaran yang buruk. Seburuk-buruk panggilan ialah (panggilan) yang buruk sesudah iman, dan siapa yang tidak bertaubat,maka mereka itulah orang yang zalim” (Surah al-Hujurat, ayat 11)

Al-Quran menggariskan beberapa panduan bagi membina masyarakat harmoni, aman dan damai. Sebagai lanjutan daripada itu, Allah Taala menjelaskan – jangan ada di antara kamu sikap saling cela mencela sesama sendiri, sama ada celaan itu dalam bentuk kata-kata, perbuatan atau isyarat.

Dalam ayat ini Allah swt jadikan celaan terhadap saudaranya bagaikan celaan ke atas diri sendiri. Ini bererti, sekiranya tiada seorang pun yang sanggup mencela dirinya sendiri, maka demikianlah hendaknya Islam tidak mahu kita mencela orang lain.

Dalam ayat lain, Allah swt mengutuk perbuatan mencela dan pelakunya dengan berfirman:

“Kecelakaanlah bagi setiap pengumpat dan pencela”. (Surah al-Humazah, ayat 1)

Seterusnya, Islam melarang umatnya daripada menggelar saudaranya dengan gelaran yang buruk dan tidak disukainya. Sebagai contoh memanggilnya hai fasik, hai munafik atau memanggilnya dengan nama binatang seperti hai anjing atau lembu. Dalam hal ini, dikecualikan bagi gelaran yang sudah terkenal pada seseorang itu, seumpama orang yang berkepala botak digelar Man Botak atau sebagainya.

Kesimpulannya, Allah menyifatkan mereka yang melakukan  perbuatan-perbuatan tadi iaitu merendah-rendahkan orang lain, mencela dan menggelarkan seseorang dengan gelaran yang tidak disukainya, sekiranya mereka tidak bertaubat, maka mereka termasuk golongan orang yang zalim iatu mereka menzalimi diri sendiri dengan melakukan perkara yang dilarang Allah dan akhirnya ia terdedah kepada azab-Nya.

Apabila sikap cela-mencela tidak wujud dalam sesebuah masyarakat, dengan sendirinya hubungan antara anggota msyarakat itu akan terjalin mesra, berkasih sayang, tolong menolong bagaikan sebuah keluarga besar. Masing-masing mengharapkan ketenangan dan kedamaian hidup bermasyarakat di dunia dan sekali gus kebahagiaan hidup di akhirat nanti.

Demikianlah Islam meletakkan asas keimanan kepada Allah supaya ia benar-benar bertepatan dengan prinsip sebagai seorang hamba Allah. Larangan melakukan perbuatan-perbuatan tersebut juga menepati salah satu daripada prinsip maqasid syariah iaitu memelihara maruah dan kehormatan orang lain.

Sumber: Berita Harian

Konsep Jihad

Jihad diertikan sebagai menegakkan kalimah Allah swt di muka bumi. Islam adalah suatu proklamasi umum untuk membebaskan umat manusia daripada menjadi mangsa pengabdian sesama manusia kepada pengakuan ketuhanan Allah swt. Untuk menuju ke arah matlamat pembebasan seluruh umat manusia, tentunya berhadapan dengan pelbagai bentuk tentangan dan cabaran, baik berbentuk akidah mahupun kekuasaan-kekuasaan politik, ekonomi, budaya dan sebagainya. Di sinilah timbulnya keperluan berjihad iaitu suatu perjuangan baik secara dakwah mahupun harakah untuk membebaskan manusia daripada pengabdian terhadap sebarang bentuk kuasa selain Allah swt.

Menurut Md Akhir Hj Yaacob, Jihad dengan berbagai peringkatnya adalah merupakan cara atau jalan untuk mengekalkan Islam, meneruskan Islam, menegakkan Islam dan meninggikan kalimahnya. Jika jihad tidak ada Islam itu sendiri akan terancam dan dihapuskan oleh musuh.

Dalil Jihad fi Sabilillah (jihad pada jalan Allah)

Firman Allah swt, bermaksud:

Wahai orang yang beriman! Mahukah aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya?,  Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, serta berjuang membela agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).”(Surah as-Saaf: ayat 10-11)

“Wahai Nabi, berjihadlah menentang orang kafir dan munafik, dan bertindak keras terhadap mereka. Dan (sebenarnya) tempat mereka ialah Neraka Jahanam, dan itulah seburuk-buruk tempat kembali”(Surah at-Taubah: ayat 73)

“Dan perangilah kerana agama Allah akan orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang menceroboh”(Surah al-Baqarah: ayat 190) Continue reading “Konsep Jihad”