DIALOG PERADABAN SEBAGAI SATU USAHA MEMUPUK SALING PERSEFAHAMAN DAN KEAMANAN ANTARABANGSA

Pendahuluan

Paparan mengenai pencerobohan, peperangan, pengeboman dan rusuhan yang mengakibatkan kematian banyak nyawa, kehilangan orang tersayang, kerosakan harta benda dan kemusnahan alam sekitar yang berlaku di beberapa buah negara adalah paparan biasa di media-mediamassa. Begitulah situasi dunia dewasa ini yang penuh dengan ketegangan dan persengketaan sehingga sukar untuk diramal bilakah dunia dan penghuninya akan menikmati kehidupan yang damai dan aman tanpa konflik?

Ketegangan dan persengketaanyang berlaku dalam sejarah peradaban manusia yang sedang melanda kini, seolah-olah membenarkan ramalan Samuel P. Huntington melalui bukunya yang menimbulkan kontrovesi iaitu “The Clash of Civilization and The Remaking World Oder”, bahawa dunia akan menyaksikan pertembungan dan pertentangan antara peradaban pada abad ke 21 ini dan akan menjadi penentu kepada masa depan politik dunia( Faudzinaim Hj. Badaruddin, t.t,). Malah melalui teorinya, Huntington telah mengaitkan Islam sebagai punca tercetusnya segala konflik. Maka tidak hairanlah sekiranya Barat hari ini telah menjadikan teori ini sebagai alasan untuk memerangi kumpulan-kumpulan Islam yang dianggap dalang keganasan dan pencetus konflik seperti yang diisytiharkan oleh pentadbiran Amerika Syarikat selepas peristiwa pengeboman pada 11 September 2001 di New York dengan melancarkan operasi ketenteraan di Afghanistan. Tindakan Amerika tersebut yang ternyata tiada alasan kukuh telah mengundang banyak ketegangan selepas itu.

Namun disebalik ketegangan dan persengkataan serta peperangan yang berlaku yang kononnya dicetuskan oleh pengganas-pengganas Islam oleh pihak-pihak tertentu, masih ramai sarjana dan pemerhati berpendapat bahawa keegoan dan keangkuhan kuasa Barat khususnya Amerika selepas tamat Perang Dinginadalah punca sebenar kepada pertembungan peradaban Barat dengan bukan Barat atau lebih khusus Timur/Islam sehingga meledakkan ketegangan dan konflik antara peradaban.

Hal ini sememangnya ada kebenarannya, di mana dunia global kini telah dicorakkan oleh peradaban Barat melalui proses hegemoni dari aspek politik, ekonomi, budaya dan sebagainya. Penentuan baik atau buruk, betul atau salah seakan hanya boleh ditentukan oleh kuasa-kuasa Barat. Perjuangan umat Islam untuk mendapatkan keadilan sepertimana yang berlaku di Palestin misalnya, dipandang sambil lewa. Fenomena uni-polar dan sikap double standard kuasa-kuasa Barat ini dilihat meletakkan masyarakat di negara-negara kecil, khususnya negara-negara Islam berada di dalam keadaan resah, kecewa dan marah yang mendorong golongan tertentu untuk bertindak-balas. Apatah lagi, mesej tegas yang disampaikan Presiden Amerika misalnya bahawa mereka tidak bersama Amerika adalah menentang Amerika telah menambah lagi kekusutan hubungan Timur-Barat. (Musa Ahmad: 2005)

Kerumitan hubungan antara peradaban yang begitu serius sifatnya sehinggakan ada sarjana menyifatkan alternatif yang wujud bagi manusia buat masa hadapan cuma dua sahaja, iaitu “mati” atau “dialog”. Namun menurut pemerhati dan sarjana yang mengkaji, manusia hari ini  sedang menempa satu cara hidup yang lebih dialogikal dan sedang menuju satu zaman Dialog Peradaban kerana manusia hari ini semakin sedar akan kuasa dan kegunaan dialog. (Azizan Baharuddin: 2005)

Persoalan yang harus diamati ialah apakah dialog antara peradaban merupakan jalan terbaik menangani krisis yang genting ini? Apakah mampu dialog peradaban merealisasikan harapan masyarakat dunia untuk mengecapi keamanan dan kesefahaman? Atau, apakah konflik yang melanda akibat pertembungan antara peradaban ini sememangnya tidak mampu dielak atau ditolak sebagaimana yang digambarkan oleh Huntington?Persoalan-persoalan inilah yang seharusnya diamati, difahami dan ditangani bersama oleh setiap masyarakat dunia.

Konsep Dialog Peradaban

Perkataan “dialog” diertikan sebagai perbincangan atau perundingan antara kedua pihak yang bertelingkah kepentingannya. Apabila disebut “berdialog”, maka maksudnya mengadakan dialog atau bertukar-tukar pendapat mengenai sesuatu isu secara terbuka.(Kamus Dewan:1996) Manakala dialog di dalam Bahasa Inggeris disebut “dialogue” bermaksud perbualan atau percakapan (conversation): bertukar-tukar pandangan antara dua pihak (exchange of views between two parties). (Kamus Dewan: 1992)

Bagi menjelaskan lagi maksud dialog, Prof. Leornard Swidler mengemukakan pandangannya, iaitu (Prof. Leornard Swidler, 1984):

“…a conversation on a common subject between two or more persons with differing views, the primary purpose of which is for each participant to learn from the other so that she or he can change and grow. This very definition of dialogue embodies the first commandment of dialogue

Bagi Dr. Azizan Baharuddin pula, dialog adalah suatu bicara dengan pihak yang berfikiran berbeza daripada kita. Tujuan utamanya adalah untuk kita belajar dari pihak atau orang lain itu suatu cara berfikir yang berlainan dan baru. Selain itu dialog bukannya semata-mata satu siri perbicaraan malahan ia adalah satu cara berfikir yang baru. Di dalam sesebuah dialog semua pihak mesti mendengar dengan perasaan yang berempati supaya dapat difahami kedudukan pihak yang lain dengan setepat yang mungkin(Azizan Baharuddin:2005)

Jelaslah di sini, dialog adalah suatu perbincangan atau bertukar-tukar pandangan yang melibatkan dua atau lebih pihak yang berbeza pandangan dengan cara yang beretika mengenai sesuatu isu bagi mencari persefahaman dan seterusnya mewujudkan keharmonian dan keamanan.

Manakala perkataan “peradaban” pula adalah kata terbitan daripada perkataan “adab” yang bererti tingkahlaku serta tutur kata yang halus (sopan), budi bahasa, budi pekerti yang halus, kesopanan. Maka apabila disebut “peradaban”, ianya merujuk kepada; keadaan serta tingkat kemajuan pada kehidupan jasmani dan rohani (sesuatu bangsa, masyarakat dan sebagainya). (Kamus Dewan:1996)

Menurut Syed Naquib al-Attas, peradaban ialah keadaan kehidupan insan bermasyarakat yang telah mencapai taraf kehalusan tatasusila dan kebudayaan yang luhur bagi seluruh masyarakatnya.(Amir A. Rahman: 1990)

Apabila dua perkataan, dialog dan peradaban digabungkan menjadi “dialog peradaban” maka ia membawa maksud “perbincangan antara dua atau lebih pihak yang terdiri daripada dua bangsa atau masyarakat yang mempunyai latar belakang yang berbeza, yang mana berbeza, yang mana, dalam konteks ini ialah peradaban yang berbeza.( Faudzinaim Hj. Badaruddin: 2005)

Ringkasnya, dialog peradaban bolehlah diertikan sebagai satu bentuk interaksi yang wujud di kalangan masyarakat pelbagai budaya, agama, bangsa, warna kulit dan seumpamanya untuk memenuhi objektif kehidupan mereka sama ada dalam aspek politik, ekonomi, sosial, pendidikan dan sebagainya. Interaksi ini dicapai melalui semua aktiviti rasmi atau tidak rasmi yang menggunakan pendekatan berbincang.

Oleh kerana peradaban tidak menjadi kepunyaan sesiapa atau mana-mana atau kawasan mana-mana atau agama apa pun sama sesuatu kumpulan manusia  itu beragama Islam, Kristian, Hindu atau Buddha, sama ada Timur, Barat, Utara atau Selatan seperti yang dinayatakan oleh Datuk Musa Hitam dalam kertas kerjanya bertajuk Peradaban Dunia Abad ke-21 (A. Aziz Deraman dan Rohani Zainal Abidin: 2002), maka tidak hairanlah pertembungan antara peradaban sememangnya akan berlaku apabila manusia atau masyarakat yang berlatarbelakangkan peradaban yang berbeza ini berinteraksi antara satu sama lain atas dorongan atau faktor-faktor tertentu.

Persoalannya sama ada interaksi itu membawa kepada kebaikan atau sebaliknya, adalah bergantung bagaimana pihak-pihak yang terlibat melakukan dan mengendalikan aktiviti interaksi antara mereka. Sebarang prasangka atau persengketaan yang berlaku akibat peradaban atau budaya atau agama yang berbeza seharusnya di atasi dengan cara profesional bukan dengan cara emosional supaya titik persafahaman dapat ditemui dan seterusnya melahirkan budaya saling hormat menghormati antara satu sama lain. Maka langkah terbaik untuk mengatasi kemelut ini adalah dengan berdailog seperti yang dinyatakan dalam satu resolusi Perhimpunan Agung Bangsa-bangsa Bersatu yang menyebut bahawaDialogue Amongst Civilizations ialah satu proses dialog antara peradaban, yang diwujudkan hasil dari keinginan kolektif masyarakat dunia untuk mempelajari, mengkaji dan mendedahkan nilai-nilai utama yang dikongsi bersama dalam pelbagai peradaban di atas prinsip persamaan dan toleransi demi mencapai kefahaman dan rasa saling hormat menghormati antara pelbagai kebudayaan.(www.islamjapandialogue.net) Lantaran itu, semua masyarakat antarabangsa perlu memahami konsep dialog peradaban ini.

Perlunya Dialog Peradaban Bagi Memupuk Kesefahaman dan Keamanan Antarabangsa

Kaedah peperangan atau menggunakan kekuatan militan untuk menangani persengketaan atau keganasan oleh pihak kuasa-kuasa besar seperti Amerika, puak militan, kumpulan ekstremis atau kegiatan kumpulan pemisah dan sebagainya yang terus berlaku pada abad ke-21 ini seolah-olah tidak lagi berkesan. Bahkan apa yang terjadi hanya mencetuskan lebih banyak ketegangan dan mencambahkan lagi keganasan dalam bentuk baru dan dahsyat. Persengketaan umat manusia dewasa ini umumnya berbeza bukan sahaja dari sudut peradaban, malah budaya dan pegangan agama. Semua konflik yang berlaku ini perlu ditangani dan diselesaikan dengan cara yang lebih berhikmah agar api persengketaan tidak terus marak. Antara konflik berdarah yang dikenalpasti di dunia kini, ialah:( Dr. Hashim Hj. Musa: 2006, 2004)

Di Timur Tengah,konflik yang tiada berkesudahan khususnya Israel, Palestin, dan lain-lain, antara tiga kumpulan agama – Yahudi, Islam dan Kristian yang telah mengorbankan ribuan nyawa.

  1. Di Eropah Timur, Eropah Tenggara dan Rusia-Chechnya antara pemeluk agama Kristian Orthodoks dengan Islam
  2. Di Kashmir antara pemeluk agama Hindu dan Islam
  3. Di antara India dan Pakistan antara pemeluk agama Hindu dan Islam.
  4. Di Amerika, pengeboman bangunan World Trade Centre di New York dan bangunan Pantegon di Washington D.C pada 11 September 2001 yang kononya dilakukan oleh kumpulan ekstremis Islam dari rangkain al-Qaedah
  5. Di Afghanistan, tindakan Amerika dan sekutunya melancarkan operasi ketenteraan secara habis-habisan ke atas kumpulan al-Qaedah yang berlindung di negara tersebut.
  6. Pencerobohan dan penyerangan ke atas Iraq oleh tentera-tentera Amerika dan sekutunya dari Eropah pada tahun 2003 kerana mengesyaki Presiden Saddam Hussein memiliki dan menyimpan senjata pemusnah yang hakikatnya tidak wujud. Ramai penduduk tempatan yang tidak berdosa menjadi mangsa korban dan kemusnahan harta benda. Pemulihan yang dilaksanakan oleh pihak Amerika semakin sukar apabila siri penculikan, pengeboman, perbalahan antara mazhab dan serangan hendap yang berterusan oleh pejuang anti-Barat tidak dapat dibendung lagi.
  7. Keganasan dan pembunuhan di Selatan Thailand antara militan Islam dengan kerajaan Thailand.
  8. Pengeboman di kota London pada 7 Julai 2005 oleh remaja muslim telah melahirkan fenomena ‘Islamophobia’ yang memberi implikasi negatif kepada penduduk minoriti Islam.
  9. Ancaman kuasa-kuasa besar Barat untuk menyerang Iran atas dakwaan Iran membangunkan senjata nuklear yang boleh mengancam keselamatan dunia walaupun telah dinafikan oleh presidennya dan bersedia menyerang balas sekiranya diserang.
  10. Melalui pelbagai saluran media, Barat menaburkan fitnah, propaganda  dan memomokkan Islam dengan tanggapan Islam dan umatnya sebagai ‘intolerant dan fanatic’. Termasuk juga, kebiadaban akhbar Denmark Jyllands-Posten menyiarkan karikator nabi Muhammad s.a.w telah menimbulkan kemarahan umat Islam seluruh dunia kerana pihak media berkenaan tidak menghormati dan memahami hak agama lain dan ianya merupakan satu penghinaan.

Menyedari akanhakikat konflik yang telah, sedang dan akan berlaku di dunia kini seperti yang dinyatakan di atas, bahawa tindakan melalui ketenteraan atau peperangan dan konfrantasi bukanlah suatu tindakan yang boleh menyelesaikan persengketaan antara manusia yang mewakili peradaban masing-masing, apatah lagi mewujudkan kesefahaman dan keamanan. Justeru, dialog adalah suatu yang tidak boleh dielakkan pada zaman ini sebagai satu kaedah atau alat alternatif bagi menggantikan kaedah peperangan dan diplomasi semasa era perang dingin dengan pendekatan budaya peradaban

Melihat akan kepentingan dan perlunya dialog peradaban ini, Tun Abdullah Ahmad Badawi pernah menyebut  dalam ucaptama dalam seminar kebangasaan bertajuk “Dialog Peradaban: Peranan dan Kepentingannya di Malaysia” di Universiti Malaya pada tahun 2004, katanya: (Azizan Baharuddin:2005):

 

“Kita tidak boleh menganggap dialog suatu yang remeh kerana dalam sejarah manusia, berbagai peradaban, kebudayaan dan masyarakat mahu tidak mahu terpaksa menjalin hubungan antara satu sama lain secara berterusan dan berpanjangan. Namun, kejahilan yang disertai dengan rasa sangsi dan sikap permusuhan terhadap satu sama lain menghalang mereka daripada menjalinkan hubungan berkekalan dan berkembang maju. Kadangkala permusuhan meledak hingga menjadi pertikaian berdarah seperti yang dapat disaksikan dalam berbagai pergolakan tragis sejak kebelakangan ini.Memandangkan keganasan kaum semakin memuncak dalam keadaan di mana pelbagai masyarakat dan di merata-rata tempat, menjadi lebih berbilang kaum, maka perlu ditekankan betapa pentingnya dialog antara kaum, antara budaya dan antara peradaban diadakan masa kini. Dialog dan persefahaman antara satu sama lain merupakan prasyarat untuk membina hubungan yang adil dan saksama antara pelbagai budaya dan peradaban. Dialog membolehkan kita memahami perbezaan dan juga persamaan yang wujud dalam peradaban antara kita”.

Tambah beliau lagi,

“Hanya apabila kita memahami dan menghargai persamaan serta perbezaan antara peradaban barulah dapat kita mewujudkan peradaban dunia yang betul-betul adil, berperikemanusiaan yang bebas dari segala bentuk kezaliman dan penindasan”.

Apa yang diluahkan oleh mantan  Perdana Menteri melalui kata-katanya di atas jelas bahawa dialog antara peradaban atau antara kaum atau antara budaya dan agama adalah suatu yang amat penting kerana melalui dialog pihak-pihak atau kumpulan-kumpulan yang terheret ke dalam kemelut konflik dapat menyelami segala permasalahan yang menjadi punca persengketaan hingga ke akar umbi. Justeru masing-masing akan memahami perbezaan dan persamaan yang wujud dalam peradaban antara mereka yang perlu dihormati.

Nada yang serupa juga pernah diluahkan oleh Presiden Republik Islam Iran dalam ucapannya di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangs-bangsa Bersatu (PBB), 21 September 1998 akan perlunya dialog peradaban di peringkat antarabangsa, di mana beliau telah menyeru masyarakat antarabangsa agar menginstitusikan dialog bagi menggantikan konfrantasi dan keganasan. Kaedah ini memberi alternatif praktikal bagi mengatasi konflik yang sedang melanda dunia semasa. Katanya (Hars Van Ginkel: 2001):

“Establisment and enhancement of civility, wether at national or international level is contigent upon dialogue among societies and civilizations representing various views, inclinations and approaches. If humanity at the threshold of the new century and millenium devotes all efforts to institutionalize dialogue, replacing hostility and confrontation with discourse and understanding, it would leave an invalvable legecy for the benefit of the future generations”

Susulan daripada seruan itu, Perhimpunan Agung PBB pada 4 November 1998 telah meluluskan resolusi untuk menerima dan mengisytiharkan tahun 2001 sebagai ‘The United Nations Year of Dialogue Among Civilizations

Kofi Annansewaktu berucap di School of Diplomacy and International Relations, Universiti Seton Hall, New Jersey pada 2001selaku Setiausaha Agung PBB ketika itu turut mengakui perlunya dan pentingnya penganjuran dialog peradaban ini, katanya; (Hans Van Ginkel:2001)

The United Nation – at its best – can be true home of the dialogue among civilizations; the forum where such dialogue can flourish and beer fruit in every field of human endeavour. Without this dialogue taking place every day among all nations – within and between civilizations, cultures and groups – no peace can be lasting and no prosperity can be secure. That is the lesson of the United Nation first half century. It is a lesson that we ignore at our peril”

Idea keperluan dan kepentingan dialog peradaban ini diadakan turut dikongsi Dr. Mohamad Khir Toyo sewaktu menjawat jawatan Menteri Besar Selangor. Beliau menyarankansupaya  dialog antara peradaban diadakan dengan melihat cabaran yang melanda masyarakat dunia pada hari ini dari sudut yang berbeza. Penyebarluasan pengaruh peradaban Barat melalui proses globalisasi  adalah suatu gejala yang mencabar peradaban manusia sejagat. Menurutnya, dampak globalisasi ke atas masyarakat Asia misalnya, boleh menjadi begitu mendalam sehingga pengenalan diri (identiti) boleh luntur atau terus hilang dan implikasinya, sukar dikenali dengan ciri-ciri kebangsaan yang tersendiri dalam semua lapangan kehidupan sama ada yang berkaitan dengan gaya hidup seseorang sehinggalah kepada kedaulatan negara dalam membuat keputusan. Kebebasan yang sepatutnya wujud pada sesebuah masyarakat atau negara dalam menentukan haluan kehidupan dan masa depan mereka sendiri telah dikongkong oleh pelbagai bentuk dominasi yang baru. Oleh yang demikian, dialog antara peradaban yang disarankan itu adalah sebagai satu strategi yang boleh berperanan untuk mengimbangi kompenan pembangunan insan dan mewujudkan kesefahaman (Azizan Baharuddin: 2005).

Bekas Presiden Iran, Muhamad Khatami merupakan orang yang memulakan cetusan idea wacana dialog antara peradaban pernah menyatakan bahawa keamanan masyarakat dunia tidak akan terjamin tanpa dialog. Dan dalam konteks perkembangan dunia hari ini, dialog Islam-Barat adalah tuntutan yang paling utama. Beliau menyeru umat Islam agar memahami Barat sepenuhnya sebagai asas dalam berdailog.(Berita Harian: 1 Ogos 2005)

Pada perspektif Islam pula, Islam adalah agama yang mengutamakan keharmonian dan kedamaian.Untuk itu, Islam menggalakkan umatnya bersifat toleransi dan hidup secara aman antara manusia.Tanggapan sesetengah pihak bahawa Islam adalah agama yang mengajar keganasan adalah tersasar jauh dari falsafah ajaran Islam. Malah al-Quran menegaskan agar berdailog dengan orang bukan Islam dengan cara yang baik kecuali sekiranya diperangi. Sepertimana firman Allah s.w.t dalam surah al-Ankabut ayat 46, maksudnya:

“Dan janganlah kamu berdebat dengan Ahli Kitab kecuali dengan cara yang baik, kecuali golongan yang zalim di antara mereka”

Dalam ayat yang lain pula, Allah s.w.t menyarankan agar manusia mengadakan mesyuarat dalam menghadapi sebarang pertikaian yang melibatkan banyak pihak sebelum membuat sebarang keputusan  kerana itu adalah lebih baik. Firman Allah s.w.t dalam surah Ali Imraan ayat 159, bermaksud:

“Dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam memutuskan urusan kamu. Maka apabila kamu telah tetapkan azam (untuk melakukan sesuatu perkara yang diputuskan itu), hendaklah kamu bertawakkal kepada Allah”

Dalam konteks yang sama, Islam juga menganjurkan umatnya supaya bersifat lemah lembut, berbudi bahasa serta meninggalkan sifat kasar kerana berbudi bahasa yang baik akan mendekatkan orang lain kepada kita, sementara sifat kasar akan hanya mengundang permusuhan. Begitulah yang rakamkan di dalam al-Quran apabila Allah s.w.t memerintahkan Nabi Musa dan Nabi Harun supaya berdailog dengan Firaun dengan kata-kata yang lembut. Firman Allah s.w.t dalam surah Taha ayat 44, bermaksud:

“Pergilah kamu berdua (wahai Musa dan Harun) kepada Firaun dan katakanlah kepadanya dengan kata-kata yang lembut. Moga-moga ia akan beringat atau takut”

Berdasarkan contoh-contoh ayat al-Quran di atas, jelas menunjukkan bahawa Allah s.w.t mengingatkan manusia supaya mewujudkan suasana kesefahaman dan keamanan melalui proses dialog terutamanya ketika berhadapan dengan mereka yang berlainan agama dan budaya atau berbeza peradaban. Namun dalam hal ini, proses dialog antara peradaban yang dianjurkan yang melibatkan banyak pihak perlu kepada perancangan dan strategi yang rapi agar tidak menyinggung perasaan atau salah faham mana-mana pihak yang boleh membawa implikasi negatif.

Strategi dan Panduan Dialog Antara Peradaban

Dalam usaha pihak-pihak tertentu termasuklah badan-badan atau pertubuhan-pertubuhan yang wujud diperingkat antarabangsa seperti PBB, OIC (Organization of the Islamic Conference) dan sebagainya menangani konflik yang sedang melanda yang melibatkan pihak-pihak yang bertelagah menerusi kaedah rundingan atau dialog, namun kedapatan salah satu pihak yang bertelagah atau pihak-pihak lain yang mungkin ada kepentingan sendiri merasa kurang senang dengan usaha tersebut. Malah awal-awal lagi sudah menolak ajakan supaya berdailog.Hal ini tentu sekali  menyukarkansegala usaha untuk mencapai hasrat membentuk kesefahaman dan keamanan dunia sedangkan semua pihak menyedari kepentingan dialog sebagai langkah terbaik mengawal sebarang konflik dari terus merebak yang  mengakibatkan banyak kematian dan kemusnahan.

Oleh yang demikian, beberapa strategi perlu diambil di samping mematuhi beberapa panduan dan prinsip bagi menjamin kelancaran dan keberkesanan dialog peradaban dan seterus mencapai objektif dialog. Selain dari itu, perlu juga diambil kira etika dan adab ketika berdialog.

Menyedari akan hakikat bahawa kebanyakan konflik yang sedang melanda melibatkan pertembungan peradaban Islam dan bukan Islam atau Barat sama ada melibatkan persoalan agama, budaya mahu pun politik, namun kebiasaannya persoalan agama seringkali dikaitkan dengan faktor utama konflik misalnya, keganasan yang dilakukan oleh orang yang beragama Islam maka pihak bukan Islam akan mengaitkan Islam sebagai agama yang menganjurkan keganasan, justeru lahirlah bibit perseteruan. Maka dalam hal ini strategi dialog yang dikemukakan oleh Dr. Hashim Musa boleh diketengahkan. Antara strategi yang beliau gariskan ialah (Dr. Hashim Musa: 2004):

  1. Hendaklah dipatuhi sepenuhnya prinsip kebebasan beragama iaitu tiada paksaan dalam agama dan juga persetujuan untuk berbeza agama dengan erti kata lain setiap anggota masyarakat antarabangsa perlu mengiktiraf kebebasan mengamalkan agama masing-masing dengan aman tanpa ada prejudis. Berhubung perkara ini telah disebut di dalam al-Quran dan perlu difahami, antaranya firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“Tidak ada paksaan dalam agama, kerana sudah nyata petunjuk kebenaran daripada kesesatan” (al-Baqarah: 256)

“Aku (orang Islam) tidak beribadat sepeti yang kamu (orang bukan Islam) beribadat. Dan kamu juga tidak beribadat seperti aku beribadat. Bagi kamu agama kamu dan bagi aku agama aku”(al-Kafirun: 3-6)

Berdasarkan maksud ayat al-Quran di atas jelas Islam mengingatkan supaya tidak memaksa orang bukan Islam menerima Islam malah menghormati pegangan agama orang lain. Oleh yang demikian, jangan jadikan perbezaan agama sebagai alasan untuk tidak boleh berdialog.

2. Orang Islam dan bukan Islam harus mengelakkan tiga gejala buruk yang memang ditegah oleh al-Quran, begitu juga dalam ajaran agama lain dan etika kemanusiaan sejagat, iaitu:

    1. Extremism atau melampaui batas dan keseimbangan apabila melakukan sesuatu peraturan atau hukum secara ekstrem.
    2. Chauvinism atau taksub apabila menganggap fikiran dan cara sendiri atau kumpulan sendiri adalah terbaik dan benar manakala fikiran orang atau kumpulan lain tidak benar dan mesti ditolak dan ditentang. Ini termasuklah menolak sikap yang dipanggil “kita” dengan “mereka” seperti yang menjadi dasar Amerika, iaitu kita berbanding dengan mereka – siapa kita dan siapa mereka? Sikap inilah yang perlu dikikis.
    3. Fanaticismatau membuta tuli (menghampiri psikosis) dalam mengikuti dan melaksanakan sesuatu cara, pendapat dan pendekatan sendiri tanpa memperdulikan bahkan menolak sekeras-kerasnya pendapat dan cara orang lain.

Sikap dan perbuatan tersebut apabila disertai oleh sikap menekankan pendirian sendiri ke atas orang lain secara paksaan, kekerasan dan militan boleh membawa kepada konflik dan pertumpahan darah. Malangnya dalam sebarang agama, organisasi dan kumpulan, sentiasa ada segelintir manusia yang bersifat ekstremis, cauvinis dan fanatik akibat beberapa faktor yang menimbulkan rasa tidak puas hati dan tertekan.Walaupun kecil dari segi bilangannya namun ianya boleh mengakibatkan kesan yang besar kerana adanya senjata dan peralatan yang canggih.Seorang atau kumpulan yang fanatik dan psikosis boleh melepaskan bom (nuklear) yang boleh memusnahkan seluruh penduduk sebuah bandar atau negara tanpa mengira kanak-kanak, wanita dan orang awam, sedangkan perbuatan demikian ditegah bukan sahaja oleh semua ajaran agama tetapi juga etika kemanusiaan.

Oleh yang demikian, musuh yang paling utama dalam peradaban manusia kini ialah kumpulan ekstremis, cauvinis dan fanatik dan militan yang secara kelompok kini dinamakan ‘pengganas’(terrorist). Dan kemunculan kumpulan-kumpulan ini seringkali dikaitkan dengan penganut-penganut agama Islam sepertimana yang diwar-warkan oleh pihak Barat melalui ucapan pemimpin-pemimpinnya dan juga melalui saluran media mereka. Mereka menyebarkan kebencian terhadap agama Islam dan keseluruhan umatnya dengan pelbagai momokkan yang tidak berasas sehingga apa yang dilakukan oleh umat Islam sebagai memenuhi tuntutan agama pun dianggap ekstremis seperti isu pemakaian tudung oleh kaum wanita Islam. Sedangkan sikap tidak berlaku adil dan tidak menghormati peradaban orang lain olehmasyarakat bukan Islam/Barat ini dengan menjatuhkan ‘hukum’ke atas umat Islam tanpa menyelidiki punca dan masalahnya bukankah itu juga dianggap sebagai taksub atau ekstremis?

Hakikatnya tindakan yang bercorak keganasan ini sebenarnya bukan sahaja dilakukan oleh orang-orang yang beragama Islam sahaja tetapi merentasi agama, budaya dan negara bangsa. Misalnya, tindakan Amerika dan sekutunya menceroboh Iraq pada tahun 2003 tanpa alasan yang munasabah cukup membuktikan bahawa Barat juga memiliki sikap ekstremis dan fanatik  terhadap mereka yang dianggap tidak sehaluan dengan peradaban mereka dengan menolak semua desakanmasyarakat antarabangsa melalui PBB supaya menghentikan pencerobohan dan peperangan. Apa yang jelas tindakan kuasa-kuasa Barat ini telah menjadi punca kemunculan kumpulan-kumpulan kecil baru yang bersikap ekstremis, cauvinis dan fanatik. Selain itu, tindakan tidak berperikemanusiaan oleh tentera-tentera Amerika  ke atas tawanan perang Iraq di penjara Abu Gharib, Iraq adalah contoh susulan lain untuk menggambarkan sikap ganas dan samseng Amerika.

Contoh lain ialah tindakan ekstrem oleh sekumpulan orang bukan Islam dengan mencampakkan najis daging babi ke dalam masjid dan membakar masjid di Britain dan di beberapa buah negara Barat lain ekoran fenomena Islamophobia kesan daripada peristiwa pengeboman di London pada bulan Julai 2005 dan juga peristiwa 11 September 2001, yang menyebabkan golongan minoriti Islam di sana menjadi resah dan takut. Justeru itu, golongan minoriti Islam ini seharusnya berusaha memperbetulkan keadaan dengan lebih terbuka antaranya seperti mengadakan sesi dialog seperti yang disarankan oleh tokoh wacana dialog muslim, Muhamad Khatami di mana beliau menyatakan (Berita Harian: 1 Ogos 2005):

“Memahami tamadun Barat tidak harus sekadar aspek politiknya saja. Di samping politik, ia meliputi sistem nilai dan pemikiran, yang harus kita fahami dan depani. Kita kini diasak dengan serangan pemikiran dan moral dan bukan sekadar pesaing politik.Cara terbaik memahami Barat adalah menerusi rasional, bukan dengan kecaman dan emosi tidak terkawal.”

Selain itu, tindakan yang tidak berkesudahan rejim Zionis Israel terhadap penduduk-penduduk Palestin dan juga tindakan memerangi negara-negara yang berjiran dengannya seperti di Selatan Lubnan dengan melancarkan serangan roket pemusnah secara melulu ke atas penempatan awam atas alasan memerangi pejuang-pejuang Hizbullah adalah contoh yang jelas bahawa rejim Yahudi ini memiliki sikap ekstremis, cauvinis dan fanatikyang tidak berperikemanusiaan. Walau pun ada yang berpendapat bahawa isu pergolakkan Israel-Palestin adalah suatu isuyang sukardiselesaikan melalui dialog kerana banyak siri rundingan damai yang diadakan malah beberapa perjanjian damai yang telah ditandatangai masih belum dapat mewujudkan sebuah negara yang aman dan damai sejak pencerobohan Yahudi pada tahun 1947. Ini adalah kerana telah menjadi misi yang perlu direalisasikan oleh rejim Zionis untuk menguasai sepenuhnya bumi Palestin dan Asia Barat keseluruhannya. Justeru itu, tidak hairanlah rejim Israel ini kerapkali berdolak-dalik dalam setiap rundingan atau dialog yang dianjurkan oleh pelbagai pihak di peringkat antarabangsa. Namun, menjadi tanggungjawab penduduk Islam Palestin untuk terus berusaha mempertahankan tanahair mereka daripada dirampas oleh rejim Israel walaupun tanpa senjata secanggih rejim.

Walau apa pun, usaha rundingan damai mengenai isu Israel-Paletin dalam bentuk berdialog harus diteruskan kerana suatu hakikat yang tidak boleh ditolak oleh sesiapa pun bahawa kaedah berdialog sahajasuatukonflik yang berlaku dapat dikawal setidak-tidaknya dapat mengurangkan angka korban dan kerosakan harta benda, dan mungkin juga  meredakan tindakan yang berbentuk ekstrem dan fanatik.

3. Orang Islam dan bukan Islam seharusnya sentiasa berdialog dan berinteraksi dengan pengamal agama dan budaya lain terutama sekali sesama warga negara dengan agama dan budaya yang majmuk. Termasuklah dalam hal ini peranan orang Islam memberikan penerangan dan penjelasan yang sebenarnya mengenai agama Islam kepada masyarakat bukan Islam kerana objektif utama kegiatan dialog di peringkat ini adalah untuk merubah perspektif negatif masyarakat Barat terhadap Islam. Masyarakat barat perlu diberi keyakinan bahawa kegiatan keganasan tidak mempunyai kaitan dengan Islam sebagai agama (Berita Harian: 3 September 2006).

Ketika mengadakan sesi-sesi dialog beberapa etika dan adab berbeza pendapat harus dipatuhi bagi mengelakan rasa kurang senang di antara pihak-pihak yang terlibat, antaranya (Dr. Hashim Musa: 2004):

  1. menerima plurality agama dan menghormati perbezaan pendapat sebagai lumrah di kalangan manusia yang berbeza latar belakang budaya, agama, suku bangsa dan puak-puaknya.
  2. mengelakkan cemuhan budaya dan agama yang lain
  3. bersopan santun dan berbudi bahasa yang baik dalam berdailog
  4. mengelakkan relativisme dan sinkretisme dalam agama.
  5. menekankan titik persamaan yang sepunya dan universal dalam agama dan budaya.

Selain itu, beberapa prinsip perlu digunakan sebagai peraturan bagi memastikan dialog berjalan lancar, antaranya (Azizan Baharuddin: 2005):

  1. Menyedari bahawa tujuan dialog yang utama ialah untuk mempelajari, untuk berubah  dan untuk menjadi lebih matang
  2. Dialog perlu wujud secara ‘intra’ dan ‘antara’ peradaban
  3. Pendailog mestilah bersifat jujur dan ikhlas
  4. Pendailog mestilah boleh mendefinisikan dengan jelas pendiriannya sendiri
  5. Dialog hanya boleh wujud antara mereka yang mempunyai hak dan status yang sama
  6. Dialog hanya boleh berlaku sekiranya wujud perasaan salain percaya mempercayai
  7. Pendialog mestilah bersifat ‘berempati’ terhadap pihak yang berdailog dengannya.

Sebagai tambahan kepada prinsip yang dianjurkan di atas, Islam juga menganjurkan supaya menggunakan kebijaksanaan (hikmah) dan pengajaran yang terbaik serta berdialog secara terbaik sebagaimana firman Allah s.w.t, bermaksud:

“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk”(al-Nahl: 125)

“Dan janganlah kamu berbahas dengan Ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang berlaku zalim di antara mereka;” (al-Ankabut: 46)

Di samping memenuhi strategi dan panduan dialog antara peradaban, perlu juga mengambil kira peserta dialog di mana dialog hendaklah digerakkan oleh pihak-pihak yang mempunyai autoriti dan boleh memberi sumbangan dan kesan serta pengaruh yang besar ke atas hala tuju dan corak aktiviti dan tindakan susulan supaya objektif dialog dapat direalisasikan. Selain itu, tanggungjawab berdialog bukan sekadar peranan kerajaan semata-mata, bahkan membabitkan cendikiawan, aktivis sosial, ahli ekonomi dan wartawan selagi mana mereka memahami dan mematuhi prinsip dan etika dialog.(Berita Harian: 1 Ogos 2005)

Kesimpulan

Menjalani kehidupan yang lebih aman dan selesa merupakan fitrah bagi setiap manusia yang mendiami bumi Allah s.w.t ini. Namun kewujudan manusia secara berkelompok-kelompok dan atas faktor persekitaran tempat tinggal dan kedudukan geografi yang berbeza mendorong kelahiran tamadun dan peradaban yang berbeza juga. Maka tidak hairanlah apabila berlakunya interaksi antara manusia ini akan berlaku pertembungan antara peradaban yang memungkinkan tercetusnya konflik sehingga menodai keamanan dan keselesaan hidup oleh kerana hanya disebabkan salah faham atau tiada keserasian atau satu pihak memandangkan rendah peradaban pihak yang lain. Perbezaan pegangan agama, ideologi politik dan amalan budaya adalah antara aspek wujudnya perbezaan peradaban.Oleh yang demikian semua manusia harus memahami kewujudan perbezaan peradaban ini.

Apa pun alasan yang membawa kepada tercetusnya konflik antara peradaban haruslah ditangani dengan bijaksana bukan dengan kaedah kekerasan, penaklukan, pencerobohan, peperangan, rusuhan atau apa-apa sahaja tindakan yang merugikan semua pihak. Justeru, berdialog adalah langkah yang sebaik-baiknya untuk mengatasi sebarang kemelut yang melibatkan peradaban antara bangsa. Namun pihak-pihak yang terbabit dalam sesi-sesi dialog yang diadakan haruslah mematuhi segala prinsip dan etika ketika berdailog oleh semua pihak yang terbabit agar titik kesefahaman yang menjadi objektif utama dialog dapat dijelmakan dan seterusnya dapat melahirkan sikap saling hormat menghormati. Selain itu, perlu juga diberi perhatian bahawa peserta-peserta dialog hendaklah terdiri daripada mereka yang mempunyai autoriti, berilmu dan mampu mengawal emosi demi kelancaran perjalanan dialog.

Usaha-usaha yang dilakukan secara berterusan oleh badan-badan dan pertubuhan-pertubuhan di peringkat antarabangsa untuk menyelesaikan pelbagai konflik antara peradaban yang melanda sekarang ini melalui kaedah dialog dan diplomasi harus diteruskan kerana semua bangsa mengakui dan percaya bahawa keamanan dan kestabilan dunia yang diwarnai dengan berbagai peradaban hanya mampu dikembalikan melalui dialog.

Ibn Shah Rani

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s