Tawakal

Tawakal bererti menyerah diri kepada Allah s.w.t dalam melaksanakan sesuatu perancangan bersandarkan kepada kekuatanNya dalam menjayakan suatu pekerjaanatau berserah diri di bawah lindunganNya pada saat menghadapi kesusahan.

Allah s.w.t berfirman, bermaksud:”Dan (ingatlah), sesiapa yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukupkan baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya)” (Surah al-Thalaq: 3)

Suatu hari Rasulullah s.a.w telah didatangi seorang lelaki yang hendak meninggalkan untanya begitu sahaja dipintu masjid tanpa ditambat terlebih dahulu. Lelaki tersebut bertanya kepada Rasulullah s.a.w:”Ya Rasulullah, adakah unta itu perlu saya tambat dahulu kemudian bertawakal atau saya lepaskan saja kemudian bertawakal atau saya lepaskan saja kemudian saya bertawakal?” Rasululullah s.a.w menjawab,”Tambatlah terlebih dahulu dan kemudian bertawakallah” (Riwayat al-Tarmizi)

Dunia hanya perhiasan

 Firman Allah s.w.t dalam surah Ali-Imran ayat 14 – 15, bermaksud:

“Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; hartabenda yang banyak berpikul-pikul, dari emas dan perak; kuda yang bertanda lagi terlatih, dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga)” {14} “Katakanlah (wahai Muhammad): Mahukah supaya aku khabarkan kepada kamu akan apa yang lebih baik daripada semuanya itu? Iaitu bagi orang yang bertakwa disediakan di sisi Tuhan mereka beberapa Syurga, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Disediakan juga pasangan-pasangan/ isteri-isteri yang suci bersih, serta (beroleh pula) keredhaan dari Allah. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Melihat akan hamba-hambaNya” {15}

Pengajaran ayat:

1. Sebagai manusia harus ingat bahawa segala apa yang dimiliki dan dinikmati di dunia adalah hanya bersifat sementara. Oleh itu, jangan sampai dilalaikan daripada mengingati Allah s.w.t

2. Sesungguhnya sebaik-baik manusia adalah mereka yang bertakwa kepada Allah s.w.t yang mana dijanjikan kepada mereka syurga yang penuh kenikmatan.